Cara Memotivasi Pelajar & Mahasiswa


Keinginan atau paksaan?

Hanya peratusan kecil pelajar yang datang ke sekolah dengan keinginan untuk belajar. Sebaliknya, ramai pula yang datang sekolah pada setiap hari kerana ibu bapa mereka yang memaksa mereka untuk berbuat demikian.

Bukannya mudah untuk memberi motivasi kepada pelajar yang tidak bermotivasi intrinsik (intrinsic motivation). Walau bagaimanapun, dengan pengajaran dan pembelajaran yang efektif, para guru boleh mula menjadikan pengalaman pelajar di sekolah sebagai sesuatu yang bernilai dan menyeronokkan.

Apakah motivasi intrinsik?

Motivasi intrinsik merujuk kepada motivasi yang datang dari dalam individu itu dan bukannya dari mana-mana ganjaran luaran, seperti wang atau gred yang baik. Motivasi intrinsik ialah keinginan yang datang dari rasa seronok melakukan tugas itu sendiri atau daripada rasa kepuasan dalam melengkapkan tugasan itu.

Contohnya, seseorang yang bermotivasi intrinsik akan menyelesaikan masalah matematik kerana ia adalah sesuatu yang menyeronokkan baginya. Seseorang yang bermotivasi intrinsik juga akan cuba menyelesaikan sesuatu masalah kerana cabaran dalam mencari penyelesaian membuatkannya rasa puas dan seronok. Di dalam kedua-dua contoh tadi, mereka bukanlah melakukannya kerana ada ganjaran yang terlibat seperti hadiah, bayaran, atau gred ujian yang baik.

Apakah contoh motivasi intrinsik?

Apabila seseorang itu mempunyai motivasi intrinsik, ini tidak bermakna bahawa dia tidak berminat untuk mendapatkan ganjaran. Ia hanya bermakna bahawa ganjaran luaran itu tidak cukup untuk memberinya motivasi. Seorang pelajar yang bermotivasi intrinsik misalnya, boleh menumpukan usahanya untuk mendapatkan gred yang baik pada suatu tugasan.

Tetapi jika pelajar itu tidak berminat kepada kandungan tugasan itu, mendapatkan gred yang baik sahaja tidak cukup untuk mengekalkan motivasi pelajar itu. Apabila pelajar itu kurang berminat, dia juga tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasn itu.

Tip untuk menyuntik motivasi intrinsik:

Tip 1 : Selidik bagaimana untuk melakukannya

Untuk membantu memberi motivasi kepada para pelajar, guru boleh agihkan kaji selidik yang ringkas. Kaji selidik ini meminta mereka nyatakan:

a) Apa yang mereka mahu belajar

b) Apa yang mereka telah belajar

c) Apa yang guru boleh lakukan untuk menjadikan pembelajaran di kelas supaya menjadi lebih menarik.

Walaupun kita mempunyai kekangan masa kerana mengejar silibus dan atas kesibukan lain-lain tugasan, carilah masa untuk mengusahakannya kerana ia memberi banyak manfaat kepada kita. Soal selidik sebegini dapat membantu kita untuk memikirkan bagaimana untuk merangka P&P dengan lebih berkesan.

Tip 2 : Wujudkan persekitaran yang menggalakkan pembelajaran

Pelajar lebih cenderung untuk memberi komitmen di dalam tugasan mereka apabila guru mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan menarik untuk mereka. Pelajar juga mahu belajar di dalam persekitaran pendidikan di mana guru menggariskan pencapaian yang diharapkan daripada pelajar dengan jelas. Berilah pelajar peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang sejajar dengan kemampuan mereka.

Guru juga boleh mewujudkan persekitaran yang menggalakkan pembelajaran. Galakkan pelajar untuk menerima kesilapan sebagai sesuatu yang normal dan juga mengambil pengajaran daripadanya. Sebagai contoh, elakkan keadaan di mana pelajar rasa malu kerana memberi jawapan yang salah. Pelajar juga diminta menghormati rakan-rakan yang lain dan tidak merendah-rendahkan rakan mereka yang membuat kesilapan atau memberi jawapan yang salah.

Tip 3 : Hormati sebagai seorang individu

Galakkan sekolah anda untuk mementingkan prinsip kesamaan antara pelajar. Semua pelajar perlu dipertimbangkan sama rata, tanpa mengira umur, bangsa, kepercayaan agama, kepercayaan budaya dan tahap keupayaan mereka. Jika semua pelajar merasakan mereka dilayan sama rata, mereka akan lebih bermotivasi untuk belajar.

Pelajar akan terpupuk motivasi intrinsik untuk belajar apabila mereka merasa dihormati oleh guru-guru dan kakitangan sekolah. Seterusnya, dia akan bekerja lebih keras untuk mencapai matlamat yang guru-guru dan sekolah telah garis dan sasarkan.

Tip 4 : Bina dan galakkan sistem sokongan di sekolah dan di rumah

Hubungan dua hala antara pelajar dan guru, dan juga antara pelajar dengan keluarganya juga mempengaruhi motivasi intrinsik. Apabila pelajar mempunyai sistem sokongan yang kukuh di rumah dan di sekolah, mereka sentiasa mendapat dorongan sewajarnya. Ini akan membantu mereka menjadi pelajar berprestasi tinggi.

Kebanyakan pelajar berminat untuk memberi yang terbaik untuk orang-orang yang bermakna dalam hidup mereka. Jika orang-orang ini mengambil sikap sambil lewa terhadap pendidikan, pelajar pun akan mengambil sikap yang sama.

Pelajar-pelajar sekolah rendah biasanya akan melakukan sesuatu untuk ibu bapa dan guru-guru mereka tanpa banyak masalah. Walau bagaimanapun, apabila pelajar itu meningkat dewasa, ia sudah mempunyai rangkaian sosial yang agak luas. Secara beransur-ansur, ibu bapa dan guru-guru akan digantikan oleh rakan-rakan pergaulan mereka.

Remaja lebih mudah terpengaruh dengan rakan sepergaulan dan juga tunduk dengan mudah kepada cadangan dan pandangan rakan-rakan mereka. Maka dengan itu, guru-guru sekolah menengah dicadangkan untuk mewujudkan hubungan yang kuat di antara pelajar mereka. Ini dapat membantu untuk memberi motivasi kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam perlakuan yang membawa kepada pencapaian akademik yang baik.

Tip 5 : Galakkan pembelajaran koperatif

Guru juga boleh wujudkan dan galakkan peluang kepada pelajar untuk bekerjasama di antara satu sama lain. Kerjasama di dalam sesuatu kumpulan mampu untuk meningkatkan tahap penglibatan pelajar terhadap pembelajaran. Ada pelbagai manfaat yang diperolehi apabila pelajar bekerjasama di dalam satu kumpulan. Antara lain, ia menggalakkan percambahan idea, sokong-menyokong antara satu sama lain dan juga suasana yang seronok untuk belajar di samping rakan sebaya.

Pelajar bermotivasi, penunjuk keberkesanan sekolah

Marilah kita luangkan masa dan tingkatkan usaha untuk menyuntik motivasi kepada pelajar. Hasilnya, kita akan dikelilingi dengan pelajar yang betul-betul berminat dan bermotivasi intrinsik yang tinggi. Kita sekali-kali tidak mahu pelajar yang tidak berminat dengan akademik atau yang berpura-pura nampak seperti mereka minat!

Jika pelajar harus selesaikan tugasan yang mereka rasa bosan, ini hanya dilakukan untuk mematuhi arahan guru, dan bukan kerana mereka bermotivasi intrinsik. Jika kelas tidak ceria dan tidak menyeronokkan, pelajar tidak akan minat untuk belajar. Malang sekali jika semangat yang hambar ini di bawa sehingga ke tahap pendidikan yang lebih tinggi.

Cubalah laksanakan strategi dan idea-idea yang dicadangkan di atas. Semoga ini dapat membantu anda memenuhkan kelas anda dengan pelajar yang bermotivasi dan bersemangat untuk belajar!

sumber : http://norazharishak.blogspot.com/

 

Trainer Profesional, Motivator Nasional, Terapis & Fasilitator Pengembangan Diri, Tim & Organisasi yang telah Berpengalaman melayani EO, TO, Training, Seminar, Terapi dan Outbound untuk berbagai kalangan dan profesi. Mulai dari Pemerintahan Pusat & Daerah, BUMN, Perusahaan Swasta Nasional & Asing, Lembaga Profesi, NGO, Kampus & Sekolah di seantero Nusantara.

Layanan Informasi Hubungi Call Center :

Transformasi Festindo

0812 9535 0040 – Ferinaldy